Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Pitchay beramah mesra bersama atlet pada Majlis Penyerahan Bendera kepada atlet sempena Kejohanan World Police and Fire Games (WINNIPEG) 2023 di Dewan Mess Pegawai Kanan Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,25 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan yang telah ditahan sejak Jun lalu masih dalam siasatan polis sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketika ini,  siasatan terhadap Jasmine masih lagi berjalan dan kes belum selesai.

“Siasatan terhadap Jasmine masih dilakukan oleh pihak kita (polis) dan setakat ini tiada perkembangan terbaharu.

“Kita sedang dalam proses untuk menyiapkan kertas siasatan kita dan masih di peringkat PDRM,” katanya dalam sidang media Majlis Penyerahan Bendera Sempena Kejohanan World Police & Fire Games Winnipeg 2023 di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman di hari ini.

Turut hadir sama dalam iaitu Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.

Pada 16 Jun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya bersedia untuk memangil Jasmine  sebaik sahaja siasatan polis ke atas wanita warga asing itu selesai dijalankan kelak.

Beliau berkata, tindakan memanggil Jasmine bagi siasatan lanjut berkaitan penyelewengan 1MDB.

Kata Azam, kesediaan Jasmine yang mahu bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang masih melakukan siasatan ke atas 1MDB adalah sesuatu yang baik.

Pada 13 Jun lalu, Jasmine yang dalam tahanan reman polis bersedia menceritakan perjalanan hidupnya sepanjang berada di luar negara sejurus meninggalkan Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Jasmine telah direman mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan polis turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mereka memerlukan Jasmine sebagai saksi atau membuka siasatan.- MalaysiaGazette