MEXICO CITY – Kementerian Luar Mexico pada Isnin berkata kerajaan Mexico berharap samannya terhadap pengeluar dan pengedar senjata api di Amerika Syarikat (AS) dapat diteruskan selepas ditolak sebelum ini, lapor Xinhua.
“Kerajaan Mexico yakin hujahnya akan diterima oleh mahkamah,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan media.
Pada Ogos 2021, Mexico memfailkan saman di AS terhadap pembuat dan penjual senjata api mendakwa amalan perniagaan cuai mereka telah menjurus kepada kemasukan besar-besaran senjata dalam kalangan kumpulan penjenayah terancang.
Menurut anggaran rasmi, lebih 500,000 senjata diseludup merentasi sempadan setiap tahun, yang membawa kepada jenayah kekerasan.
Pada September 2022, Mahkamah Daerah Massachusetts menolak saman itu. Mexico merayu keputusan itu dan pada Isnin telah mengemukakan hujah lisannya memohon kes itu diteruskan.
“Mexico akan meneruskan usaha dan tindakannya untuk memerangi kemudaratan kepada rakyat negara itu akibat penyeludupan senjata haram,” kata kementerian itu. – Bernama-Xinhua