Anggota polis membawa suspek untuk didakwa bagi kes membunuh teman wanita di sebuah kondominium sekitar Kelana Jaya pada 2 Jun lalu untuk didakwa di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Pereka grafik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas  tuduhan menyebabkan kematian terhadap teman wanitanya pada 12 Julai lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Sean Edward Kenneth Quinn, 30, dikatakan telah  mengakibatkan maut ke atas Nurin Najmina Mohd Ridzuan di Kondomonium Desa Kiara.

Bagaimanapun, pengakuan tertuduh tidak direkodkan hari ini.

Mengikut fakta kes, Sean dan teman wanitanya bertengkar sebelum Nurin Najmina ditemui jatuh daripada tingkat 10 kondomonium berkenaan.

Sean didakwa melakukan jenayah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman  gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan.

Sementara itu Majistret, Nurul Izzah Shaharuddin menetapkan 25 September sebagai sebutan kes berkenaan ke peringkat seterusnya.-MalaysiaGazette