Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto MUHD NA’IM,25 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Setakat ini polis belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana individu termasuk Siti Zabedah Kasim berhubung dakwaan terdapat ugutan bunuh yang diterima peguam tersebut.

“Setakat ini memang tidak ada sebarang laporan yang diterima polis berhubung ugutan (ancaman bunuh) itu yang membolehkan kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan,” kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Bagaimanapun katanya, polis sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup yang diperoleh susulan kejadian tersebut.

Polis juga sudah memanggil dan merakam keterangan daripada 12 saksi termasuk mangsa, pemilik bengkel, anggota keselamatan mahkamah dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penyerahan Bendera sempena Kejohanan World Police dan Fire Games Winnipeg 2023 di Bukit Aman di Mess Pegawai Kanan hari ini.

Turut hadir Pengarah Pengurusan Datuk Seri Azmi Abu Kassim dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.

Jelas Ayub, berdasarkan laporan awal dari Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia, memang wujud bahan yang boleh menyebabkan letupan pada kereta milik Siti Kasim.

“Namun kita akan menjalankan kajian terperinci, jadi kita tunggu laporan penuh penganalisis makmal.

“Siasatan bergantung pada bukti, kena tengok siapa mangsa, dari situ kita  mungkin dapat petunjuk. Mungkin masalah perniagaan, masalah sakit hati, keluarga , hutang dan pelbagai motif yang boleh digunakan untuk balas dendam,” jelasnya.

Ayob berkata, ketika ini siasatan diteruskan di bawah Seksyen 7 Akta letupan dan Kakisan 1957.

Pada tengah hari Jumaat lalu, Siti Kasim membuat laporan polis berhubung penemuan dua botol plastik menyerupai bahan letupan yang diletakkan di brek bahagian tayar belakang kereta jenis Toyota Celica miliknya.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast