KUALA LUMPUR – Penyampai radio Suria FM, Tyzo Xander atau lebih dikenali sebagai Tyzo telah mencipta sejarah berjaya dinobatkan Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 baru-baru ini.
Menurut penyampai radio yang popular menerusi segmen Suria Petang perlu menunggu selama 20 tahun selepas berkecimpung dalam industri radio tanah air.
Dia yang terkejut namun meluahkan rasa syukur atas anugerah yang diterima itu.
“Anugerah yang diterima ini sangat besar maknanya dalam kamus perjalanan karier saya sebagai seorang penyampai radio.
“Saya sangat bersyukur kerana ini merupakan kali pertama saya menggenggam trofi Penyampai Radio Popular selepas 20 tahun berada dalam industri ini.
“Setelah pelbagai suka duka yang saya lalui sepanjang menjadi anak seni, akhirnya saya berpeluang merasai pengalaman indah di pentas anugerah berprestij seperti ABPBH dan saya sangat berbesar hati,” katanya dalam satu kenyataan.
Tyzo turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pengundi yang sentiasa mendengarkan bersama gandingan Rara di segmen Suria Petang dan menghargai kerja serta bakatnya selama ini.
“Kemenangan ini adalah hadiah buat peminat dan pendengar Suria FM khususnya bagi segmen Suria Petang. Saya percaya ramai pendengar yang menyukai gandingan kami berdua dan dengan kejayaan ini, saya akan lebih berusaha memberikan yang terbaik kepada para pendengar.
“Juga tidak dilupakan, terima kasih kepada ahli keluarga, adik-beradik dan keluarga saya di Suria FM yang sentiasa memberikan sokongan, sememangnya jasa kalian tidak dapat dilupakan.
“Terima kasih kepada pihak penganjur, rakan-rakan media, seluruh warga kerja dan barisan pemenang,” katanya.
Namun Tyzo turut meluahkan rasa sedih apabila arwah ibunda tercinta, Allahyarham Hasnah Shaari tidak berpeluang melihat kejayaan beliau menggenggam trofi Penyampai Radio Popular ke-35.
Ujarnya, arwah sentiasa mendengarkan beliau ketika ke udara dan tidak pernah berhenti menyuntik semangatnya untuk terus berkarya. – MalaysiaGazette