Pejabat Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan seorang wanita dari Sarawak, yang mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk meminta Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan membatalkan namanya daripada Daftar Mualaf.

Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa permohonan itu tidak boleh diterima untuk semakan kehakiman berdasarkan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan (FC).

“Permohonan pemohon adalah remeh dan menyusahkan serta perlu ditolak oleh mahkamah,” katanya.

Wanita itu yang diwakili peguam Iqbal Harith Liang berhujah bahawa permohonan itu tidak dihalang di bawah Artikel 121 (1A) FC.

“Kewajipan Pendaftar Mualaf memutuskan permohonan pemohon untuk keluar daripada agama Islam adalah tersirat dalam Seksyen 89 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505). Pemohon memohon kebenaran bagi prosiding semakan kehakiman dimulakan terhadap responden,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan 21 Sept untuk menyampaikan keputusannya berhubung bantahan AGC.

Wanita berusia 26 tahun itu memfailkan permohonan pada 20 April dan menamakan Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Pemohon dilahirkan pada 9 Julai 1997, ibu dan bapanya beragama Kristian, memohon pengisytiharan bahawa Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memberikan bidang kuasa kepada responden pertama (Pendaftar Mualaf) untuk mengisytiharkan bahawa seseorang itu bukan lagi beragama Islam.

Beliau juga memohon responden pertama mempertimbangkan permohonan pemohon supaya namanya dibatalkan daripada Daftar Mualaf dan membuat keputusan serta-merta dan memohon pengisytiharan bahawa penolakan atau kelewatan responden pertama memutuskan permohonan pemohon dalam surat bertarikh 30 Jan, 20 Feb dan 17 Mac 2023 adalah tidak rasional dan tidak munasabah.

Dalam afidavit sokongannya, wanita itu berkata pada awal 2017, pemohon bertemu seorang lelaki Melayu beragama Islam yang mempelawanya untuk berkahwin dan bagi membolehkan perkahwinan mereka dari sudut pentadbiran, beliau memeluk agama Islam pada 18 Ogos 2017 dan didaftarkan sebagai mualaf oleh responden pertama.

Bagaimanapun pada 27 Jan tahun lepas, pemohon telah berikrar dalam afidavit bahawa beliau mahu keluar daripada agama Islam dan kembali menganut Kristian.

Pada 30 Jan, 20 Feb dan 17 Mac 2023, pemohon melalui peguamnya telah mengeluarkan surat kepada responden pertama untuk memohon namanya dibatalkan daripada Daftar Mualaf dan pada tarikh pemfailan permohonan itu, responden pertama belum memberikan sebarang keputusan berhubung permohonannya. – BERNAMA