Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diingatkan supaya tidak terlalu yakin menang.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan, calon parti tunjang orang Melayu itu perlu mengelak daripada mengulangi kesilapan lalu dengan memandang mudah parti lawan.

Sebaliknya, menurut beliau, calon BN perlu meletakkan diri sebagai underdog  selain perlu bekerja keras memenangi hati pengundi.

“Yang kita tahu, (kita) calon daripada BN, (tapi) kita tak tahu siapa lawan kita. Kita (calon BN) perlu sentiasa meletakkan diri sebagai underdog.

“Jangan terlalu over confident, (kata) boleh menang, boleh sapu bersih, tawan negeri 100 peratus macam dulu. Yang pentingnya, BN mesti bekerja keras untuk menang dalam pilihan raya kali ini,” katanya.

Beliau yang juga Bekas Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media Majlis Anugerah 100 Top CEO 2022, di M Resort & Hotel di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menambah, susulan semua tarikh penting dalam PRN sudah diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beliau berharap jentera-jentera BN di enam negeri akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan.

BN mengumumkan seramai 108 calon yang akan bertanding pada PRN di enam negeri bulan depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast