Mohamad Faisal Abdul Halim

KUALA LUMPUR – Pemain sensasi Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim digantung empat bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), menurut Selangor FC menerusi kenyataan malam ini.

Ia susulan kenyataan media yang dibuat pemain itu selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada 27 April lepas.

Namun, hukuman penggantungan itu berlangsung sebulan dahulu, bermula semalam (25 Julai) hingga 23 Ogos ini, manakala bakinya ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain berusia 25 tahun itu selama setahun bermula 24 Ogos.

“Semalam, wakil kelab dan pemain hadir di hadapan Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk perbicaraan tatatertib. Pada hari ini, Selangor telah dimaklumkan mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib tersebut.

“Oleh itu, beliau tidak boleh disenaraikan untuk perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) (29 Julai), Kuala Lumpur City (8 Ogos), Negeri Sembilan (13 Ogos) dan kedua-dua perlawanan Piala Malaysia menentang PDRM FC (3 dan 19 Ogos),” menurut kenyataan itu.

April lepas, Mohamad Faisal yang turut dikenali sebagai Mickey, menyatakan kekecewaannya terhadap perjalanan perlawanan menentang Sabah tersebut dan berharap ia lebih adil.

Pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu, Selangor tewas 1-2 dengan gol tunggal disumbangkan Muhammad Faisal. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast