Bojan Hodak. Foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Bojan Hodak hari ini meletak jawatan sebagai Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City) selepas dua setengah musim membimbing pasukan dengan pencapaian beraksi di tiga pentas final berbeza dan merangkul satu kejuaraan.

Perkara itu diumumkan skuad Warga Kota menerusi hantaran di laman Facebook mereka pagi ini.

“Kami mengucapkan terima kasih dan kami mendoakan yang terbaik untuk anda pada masa depan.

“Hanya ada satu Bojan dan anda akan sentiasa berada di hati kami,” menurut hantaran itu.

Hodak yang dilantik mengendalikan KL City pada Januari 2021, berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila membawa pasukan layak serta memenangi Piala Malaysia musim itu dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pengendali Croatia berusia 52 tahun itu turut membimbing KL City mara ke final Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 dan Piala FA 2023 baru-baru ini.

Dalam saingan Liga Super, KL City menamatkan kempen 2021 dan 2022 masing-masing di tempat keenam dan selepas 17 perlawanan musim ini, KL City berada di posisi ketujuh dengan mengumpul 25 mata.

Sementara itu, pasukan Liga Indonesia, Persib Bandung mengumumkan kedatangan bekas pengendali skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan itu di laman Facebook mereka, selepas pengumuman perpisahan dibuat KL City.

“Selamat datang Bojan Hodak, jurulatih Croatia ini akan mengetuai Persib dalam meneruskan saingan Liga 1 musim ini. Diharapkan sentuhan magis dapat membawa Persib bangkit dan mencapai peningkatan,” menurut hantaran itu.- BERNAMA