KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberikan ‘kejutan’ di lobi mahkamah Jalan Duta di sini petang tadi.
Beliau dipercayai hadir sebagai sebagai saksi pendakwaan bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Zeti kelihatan tenang memasuki pekarangan mahkamah dengan memakai jubah berwarna biru gelap dengan diiringi beberapa pegawainya.
MalaysiaGazette difahamkan, andainya peguambela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat menghadiri prosiding hari ini untuk sesi soal balas saksi ke-44, bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI (Singapura), Kevin Michael Swampillai maka pendakwaan bersedia untuk Zeti memberi keterangan terlebih dahulu.
Namun Muhammad Shafee hadir sekitar 2.20 petang tadi dan memaklumkan kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah beliau lewat memandangkan dirinya sakit kepala dan gagal hadir prosiding pagi ini.
Mahkamah kini bersambung dan Kevin kini di soal balas oleh Muhammad Shafee.
Isu memanggil Zeti untuk memberi keterangan timbul selepas Muhammad Shafee yang juga peguam utama Najib bertanyakan satu soalan kepada saksi ke-39 iaitu bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang, 75, mengenai kehadiran ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low di kediaman Zeti.
Selepas soalan itu diajukan kepada Cheah, ketika itu mendiang Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu Collin soalan itu boleh ditanya kepada Zeti kemudian kerana pihak pendakwaan akan memanggil beliau untuk memberi keterangan dalam kes yang sama.
Setakat ini tidak dipastikan sama ada Kevin akan habis memberikan keterangan sebelum memanggil Zeti ke kandang saksi atau sebaliknya.
Najib ketika ini berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – MalaysiaGazette