pegawai pasukan beruniform dan seorang pengarah syarikat direman selepas mengemukakan tuntutan palsu dan rasuah bekalan senjata oleh SPRM Kuala Lumpur. Ihsan SPRM KL

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  Kuala Lumpur  menahan seorang pengurus syarikat dan lima pegawai yang berkhidmat dalam agensi keselamatan negara kerana disyaki terlibat dengan tuntutan palsu dan rasuah melibatkan pembekalan peralatan senjata berjumlah lebih RM550,000.

Kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40an dipercayai ditahan kira-kira jam 10 malam tadi di pejabat SPRM Kuala Lumpur semasa tampil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Semua suspek disyaki terlibat dalam tuntutan palsu yang dilakukan pada tahun lalu sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dibekalkan,” kata sumber.

Sementara itu, kesemua suspek yang ditahan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pagi tadi untuk permohonan perintah reman.

Majistret Wong Chai Sia yang mendengar permohonan SPRM itu telah memerintahkan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 2 Ogos 2023.

Manakala seorang lagi suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM akibat masalah kesihatan yang dihadapinya selepas selesai diambil keterangan dalam kes tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan kesemua individu tersebut.

Kata beliau, siasatan ke atas mereka sedang dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette