Sebuah kereta hangus bersama seorang lelaki di tempat duduk pemandu di Putra Square 7, Sri Dagangan Kuantan Square, Kuantan, Pahang. Foto: .JBPM Pahang.

KUANTAN – Seorang lelaki ditemukan rentung di dalam sebuah kenderaan yang dilaporkan terbakar di Putra Square, di sini, pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.58 jam pagi.

Beliau berkata, kenderaan tersebut dilaporkan terbakar di parkir hadapan deretan premis perniagaan di Jalan Putra Square 7, Sri Dagangan Kuantan dengan pemandunya masih berada di tempat duduk.

“Pihak bomba melakukan operasi pemadaman, namun kenderaan itu telah terbakar 90 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh Petugas Kesihatan (KKM) dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette