KUALA LUMPUR – Defisit belanjawan negara yang berterusan sejak 1998 berpunca daripada kegagalan Wawasan 2020 yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era pentadbiran 22 tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia menyebabkan angka hutang dijangka mencecah lebih 60 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023.
“Ia akan memberi kesan yang parah kepada ekonomi negara.
“Negara terbeban dengan hutang yang membengkak dan 16 peratus hasil negara diperuntukkan hanya untuk melunaskan hutang.
“Hakikatnya apa yang diuar-uarkan dari cita-cita Wawasan 2020 dan janji-janji muluk sebelumnya tidak tercapai,” katanya berucap merasmikan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan jemaah menteri lain.
Tambah Perdana Menteri itu, gejala itu dikhuatiri akan mengekang keupayaan negara memberi tumpuan kepada pembangunan bagi menjamin keselesaan rakyat.
“Setelah mengambil kira keretakan struktur ekonomi yang ditambah dengan kelemahan tatakelola dan ketelanjuran elit pemerintah, ia menuntut kita melakukan perubahan atau anjakan yang bermakna,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, golongan muda berumur 24 tahun ke bawah berdepan kemelut kadar gaji rendah, di mana separuh pekerja Malaysia kurang dari RM2,250 sebulan.
“Belia khususnya graduan berhak meraih pendapatan bermakna.
“Keadaan ini tentunya mengkhawatirkan dan negara yang bertanggungjawab perlu merangka program bagi mengatasinya,” katanya. – MalaysiaGazette