Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid Foto: Shahrin Zamzuri

SEREMBAN – Belum pun wisel kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ditiup, calon Barisan Nasional (BN) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid memberi amaran kepada lawannya agar tidak mengheret isu rasuah suaminya sebagai modal kempen murahan.

Isteri kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad itu berkata, apa yang berlaku (rasuah) adalah melibatkan suaminya.

Malah, kata Bibi Sharliza, suaminya yang juga bekas Pengerusi Felda tidak bertanding pada PRN Negeri Sembilan, 12 Ogos ini.

Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan itu turut dilihat menujukan amaran itu kepada lawannya daripada Perikatan Nasional (PN) yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith.

“Kenapa kempen saya nak terkesan pula (akibat kes rasuah) dan kalau Tan Sri itu calon betullah. Sebab itu saya cakap, you nak kempen, janganlah guna personal thing to attact me, I also have a personal thing to attact you.

“Kalau kita nak cakap pasal individu, dia (Eddin) pernah memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuala Pilah dulu, kita pun tahu dia punya performance macam mana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima watikah yang menyaksikan seramai 17 calon BN menerima lantikan itu disampaikan Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan sambil disaksikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias di Pejabat UMNO Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Bibi Sharliza yang juga bekas ADUN Paroi berkata, beliau tidak merasakan tercabar apabila mendengar pencalonan pencabarnya itu malam tadi.

“Saya semalam rileks sahaja dengar nama Eddin bertanding, semua orang akan ada dia punya kelebihan dan kelemahan,” katanya.

Ditanya adakah suaminya yang merupakan bekas Ahli Parlimen Jempol akan turut membantunya berkempen sebaik pengumuman hari penamaan calon esok, beliau berkata, gerak kerjanya sudah bermula sebelum ini.

“InsyaAllah (Isa) turunlah bantu, kita orang parti (dan) parti perlukan semua angle (sudut) untuk menang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast