Naib Pengerusi Mahasiswa Keadilan Malaysia, Yuveraaj Pillai (tiga kanan) menunjukkan laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Skandal Pemberian Tender ‘Projek Fleet’ Kepada Syarikat SPANCO Sdn Bhd di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. Foto MHD NA’IM, 27 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat seorang bekas Perdana Menteri berhubung pembatalan surat niat (LOI) bagi projek pembekalan, pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan (Projek Fleet) bernilai RM4.6 bilion.

Naib Pengerusi Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), Yuveraaj Kalidasan berkata, gesaan itu susulan pendedahan Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan yang mendakwa projek itu sepatutnya dianugerahkan kepada syarikat usaha sama (JV) Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza.

Katanya, mengikut kenyataan Vincent Tan, ia kemudian dibatalkan dengan LOI yang ditawarkan kepada JV itu ketika bekas Perdana Menteri itu mentadbir kerajaan.

“Dalam kenyataan Vincent Tan pada 17 Julai lalu terdapat pendedahan bahawa konsortium yang dibentuk antara Berjaya dan Naza telah membuat tawaran bersama bagi Projek Fleet.

“Projek Fleet telah dianugerahkan kepada Konsortium Berjaya-Naza melalui surat niat. Namun Vincent telah menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri pada masa itu kemudian telah membatalkan semula surat niat tanpa memberikan sebarang alasan.

“Projek Fleet kemudian dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang mana tawarannya berharga lebih mahal iaitu sebanyak RM700 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Yuveraaj mendakwa kes terbabit mungkin mempunyai unsur-unsur rasuah dan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan.

“Dalam kenyataan (Vincent) itu didedahkan bahawa Konsortium Berjaya-Naza menang tender kerana tawaran mereka adalah yang termurah di antara semua pihak yang telah menyertai tender. Khususnya, tawaran Konsortium Berjaya-Naza adalah RM700 juta lebih murah daripada yang dikemukan syarikat terbabit.

“Kami meragui bahawa mungkin ada isu rasuah yang melibatkan bekas Perdana Menteri itu kerana jika tidak, mengapa kerajaan, pada masa itu membatalkan tender yang paling murah dan menganugerahkannya semula kepada syarikat dengan harga yang jauh lebih mahal,” katanya lagi.

Menurut beliau, MKM sudah membuat 14 laporan polis di seluruh negara berhubung isu berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan Vincent mendedahkan dirinya akan menyaman kerajaan Malaysia atas isu penamatan LOI yang ditawarkan kepada syarikat JV Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mac 2020.

Vincent turut mendedahkan kontrak yang diberikan kepada Spanco Sdn. Bhd. adalah RM700 juta lebih tinggi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast