Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan sebahagian penyokong sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bagi N.16 Sungai Tua, N.17 Gombak Setia dan N.18 Hulu Kelang di SMK Sungai Pusu, Gombak. Foto FAREEZ FADZIL, 29 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perpaduan dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) di Pusat Penamaan Calon untuk tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Rawang dan Taman Templar berada dalam keadaan baik.

Pengerusi PH itu yang diiringi Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor berada di Pusat Penamaan Calon Selayang pada jam 9.35 pagi

Pemimpin tertinggi parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan sempat menyantuni penyokong PH-BN dan melaungkan ‘Hoi Hoi Hoi Ya Hoi’ yang dipetik dari lirik lagu Aduh Malaysia nyanyian Altimet.

Laungan ‘Hoi Hoi Hoi Ya Hoi’ semakin kuat berkumandang berikutan penyokong Perikatan Nasional (PN) turut menyanyikan lirik itu dengan nada sinis terhadap Perdana Menteri.

Ketika ditanya mengenai suasana hari ini, Anwar hanya menunjukkan isyarat bagus.

“Okay,” ujar beliau.

Bagi kerusi DUN N13 Kuang, Datuk Hasnal Rizua Merican Habib Merican yang mewakili Barisan Nasional (BN) bakal berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rafiq Mohd Abdullah.

Manakala kerusi DUN N14 Rawang pula akan ditandingi calon PN, Rejean Kumar Ratnam melawan calon PH, Chua Wei Kiat.

Sementara itu kerusi DUN N15 Taman Templer menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PN, Zaidy Abdul Talib, Aida Nazeera Abd Rahman dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Anfaal Saari (PH). – MalaysiaGazette