Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof . Foto AMIRUL SHAUFIQ 06 DECEMBER 2021.

CYBERJAYA – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang merancang untuk menempatkan lebih ramai anggota pada hari mengundi yang berlangsung 12 Mac ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, langkah itu bagi memastikan proses pengundian di pusat-pusat pembuangan undi di sekitar daerah berkenaan berjalan lancar.

“IPD Sepang juga merancang untuk menempatkan lebih ramai anggota sekitar 818 anggota pada hari mengundi 12 Ogos ini bagi melancarkan proses pengundian,” katanya ketika di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Kamarul berkata, kesemua jumlah anggota yang bertugas hari ini adalah dari IPD Sepang.

Ia melibatkan seramai 148 anggota yang ditempatkan di Dewan Komuniti Pantai Sepang Putra, Tanjung Sepang dan 248 anggota di Dewan Semarak Cyberjaya DUN Dengkil serta 185 anggota di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi DUN Sungai Pelek.

Tegasnya, polis memberi amaran agar jentera parti yang bertanding mematuhi peraturan ditetapkan termasuk tidak menyentuh isu 3R (Institusi Diraja, Agama, Bangsa) ketika berkempen dan sekiranya didapati melanggar undang- undang akan dikenakan tindakan.

Katanya, penyokong parti juga dinasihatkan supaya tidak melakukan provokasi, tidak terbabit dalam pergaduhan dan perarakan motosikal yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai.

“Setiap parti juga perlu mendapatkan permit terlebih dahulu sebelum mengadakan program ceramah. Penyokong juga perlu mematuhi peraturan pemasangan bahan kempen termasuk tidak meletakkannya di bangunan kerajaan dan tidak membahayakan pengguna jalan raya,” tambahnya. – MalaysiaGazette