KUALA LUMPUR – Pentadbir laman Facebook milik Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan motif seorang pengguna media sosial yang menuduh bekas perdana menteri itu melindungi seorang individu yang membuat kecoh di sebuah kondominium di ibu negara.
Menurut hantaran di Facebook Najib Razak, bekas Presiden UMNO itu telah dipenjarakan hampir setahun namun masih ditohmah dengan pelbagai tuduhan.
“Alahai…memang cerita tak cukup panas ke kalau tak sebut Najib? Teruskan fitnah. Dah biasa. Apa lagi yang tak salahkan Najib? Boleh tambah, bagi panjang lagi senarai.
“Najib dah lima tahun keluar Putrajaya. Najib dah masuk penjara 341 hari. Rumah Najib kamu serbu. Rumah arwah ibu dia pun kamu pecahkan.
“Aset akaun bank Najib sekarang pun dikawal selia mahkamah. Masih ada yang lagi mahu tabur fitnah kat Najib,” tulis hantaran itu.
Terdahulu, seorang pengguna Twitter mendakwa, seorang pemilik kenderaan yang membuat kecoh di sebuah kondominium di ibu negara dilindungi oleh Najib.
Malah, dia turut mendakwa anggota polis tidak boleh mengambil tindakan atas arahan pihak atasan.
Terdapat juga komen yang mempersoalkan bagaimana Najib yang berada dalam penjara masih boleh memberi arahan kepada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette