Pencalonan Bell Ngasri menjadi tular apabila dia dikatakan tidak pernah memenangi mana-mana anugerah sepanjang penglibatannya dalam dunia seni.

KUALA LUMPUR – Bintang Popular BH Ke-35, Bell Ngasri memperoleh 12,654,855 juta undi yang membawa kepada keputusan pemilihan tertinggi, sekali gus melayakkannya menerima anugerah kategori berkenaan.

Pengarah ABPBH 35 Shamshul Azree Samshir berkata, meskipun tidak mempunyai kelab peminat namun terbukti pelakon berkenaan diterima oleh peminat daripada pelbagai latar belakang kerana bakatnya yang tidak dapat dinafikan.

“Seperti yang kita semua ketahui, Bell tidak ada kelab peminat. Ini membuktikan bakat dimiliki Bell masih digilai dan diterima masyarakat sejak mula aktif dalam bidang seni kira-kira 37 tahun lalu.

“Begitu jugalah dengan ABPBH yang menjadi acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan dan masih relevan hingga hari ini,”katanya.

Terdahulu, kemenangan Bell dipertikai segelintir warganet di media sosial.

Ada yang menggesa supaya jumlah undi yang diraih pelakon tersebut didedahkan umum.

Sebagai rekod, Bell yang mula berlakon sejak 1986, menewaskan Zizan Razak, Johan, Jaa Suzuran dan Syahmi Sazli dalam kategori itu.

Tambah Shamshul Azree, Bell menang atas majoriti undian percuma yang diberi peminat sepanjang tempoh pusingan Top 5 mulai 15 Mei hingga 20 Jun lalu. – MalaysiaGazette