SHAH ALAM – Calon Pas bagi kerusi DUN Kota Anggerik, Mohamed Sukri Omar mengingatkan anak muda jangan membuang masa dengan melakukan perkara tidak berfaedah.
Sebaliknya, mereka perlu mengambil peluang yang ada dengan mengisi masa menuntut ilmu sama ada pengetahuan agama mahupun sebarang bentuk kemahiran yang memberi manfaat untuk hari muka.
“Saya suka mengingatkan mereka dan ikutlah tiga tips ini. Pertama, pastikan setiap hari diisi dengan susunan jadual kehidupan, iaitu apa yang kita nak capai.
“Kedua, jangan tergopoh gapah dalam membuat sesuatu keputusan. Pastikan setiap keputusan itu dibuat bukan semata-mata berlandaskan emosi, tetapi berdasarkan keperluan dan keadaan.
“Ketiga, isi masa dengan menambah kemahiran dalam pekerjaan, di samping rancang perbelanjaan. Ini penting kerana merancang perbelanjaan itu adalah merancang perjalanan masa depan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Pada PRN DUN Selangor 12 Ogos ini, Mohamed Sukri bertanding melawan penyandang kerusi DUN Kota Anggerik, Najwan Halimi dari Pakatan Harapan (PH).
Mengenai calon PN, beliau yang tersenarai dalam 10 calon Pemuda PN Selangor berkata, pemilihannya oleh pucuk pimpinan parti adalah untuk mewakili suara anak muda yang berani dan tegas.
“Sudah pasti jika menang, kita akan mengangkat isu dan hak mereka serta rakyat amnya ke Dewan Undangan Negeri.
“Paling penting sekali, calon yang diangkat pimpinan PN ini merupakan pemuda pilihan Selangor yang mengangkat sumpah menolak rasuah.
“Kami ini bukan sekadar berintegriti sebagai pemimpin yang menyuarakan suara rakyat Selangor, malah kebajikan rakyat terus diutamakan,” katanya. – MalaysiaGazette