KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan dana khas sebanyak RM40 juta kepada lepasan sekolah bagi menyertai program Academy in Industry (AiI).
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, program yang membabitkan 200 syarikat itu akan menyediakan peluang pekerjaan kepada 20,000 anak muda sehingga akhir 2023.
Dana berkenaan digunakan untuk membayar insentif penempatan pekerja bagi mengurangkan beban golongan muda terhadap kos membayar deposit rumah sewa dan perpindahan dari kampung.
Ia juga digunakan sebagai insentif lulus kekal dalam pekerjaan dan insentif pensijilan sekiranya pelatih kekal dalam pekerjaan sehingga 18 bulan untuk menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Rafizi berkata, majikan juga diberikan insentif latihan bagi pelatih yang disijilkan di akhir tempoh 9 hingga 18 bulan.
“Anggaran awal menunjukkan 200 syarikat pertama ini berkemampuan menyerap sehingga 20,000 golongan muda dan rentan menjadi pekerja di sektor pembuatan dan teknikal, dengan gaji bersih sekitar RM2,000 sebulan.
“Selepas pengambilan kumpulan pertama sebanyak 20,000 pelatih, program ini akan diteruskan dengan pengambilan seterusnya untuk mewujudkan kumpulan pekerja teknikal tempatan yang besar.
“Dengan jumlah yang besar, kerajaan akan meningkatkan tahap pensijilan melalui kaedah kerja-latihan dari SKM hingga ke peringkat diploma dan universiti,” katanya dalam kenyataan.
Program AiL membolehkan lepasan sekolah untuk memilih aliran pendidikan tinggi yang bersesuaian dengan kecenderungan mereka iaitu aliran formal atau aliran teknikal kerja-latihan.
AiI membolehkan golongan muda dan rentan menyertai sektor pekerjaan teknikal tanpa perlu mempunyai kelayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pendekatan baharu tersebut mengambil kira kecenderungan golongan muda yang lebih berminat untuk bekerja terus tanpa melanjutkan pelajaran selepas alam persekolahan.
Majikan yang memenuhi syarat dari segi modul latihan, kandungan teknikal dalam pekerjaan dan gaji yang ditawar dan dilesenkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran akan melatih pekerja terbabit.
Selepas pekerja melalui tempoh kerja-latihan antara 9 hingga 18 bulan sijil akan diberikan bergantung kepada jenis kemahiran yang dipilih.
“Ini bermakna anak-anak muda seawal 18 tahun boleh mula bekerja dan mempunyai prospek kerjaya teknikal kerana mereka akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia selepas 9 hingga 18 bulan bekerja.
“Berbanding pendekatan sedia ada yang memerlukan kelulusan kursus TVET sepenuh masa selama 24 bulan sebelum mereka boleh mencari pekerjaan,” katanya dalam kerajaan.
Rafizi hari ini menyampaikan tauliah kepada 200 syarikat terbabit sekali gus melancarkan porgram AiL. – MalaysiaGazette