Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta calon Pakatan Harapan (PH) N.12 Suka Menanti, Zamri Yusuf beramah mesra bersama penduduk sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Kedah di Medan Selera Putra, Mergong, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 01 OGOS 2023.

ALOR SETAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa sekali lagi melakukan kesalahan apabila menyentuh isu kalimah Allah buat kali kedua.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa Muhyiddin jelas tidak menghormati nasihat Majlis Raja-Raja supaya tidak lagi menyentuh isu itu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kalau sebagai pemimpin politik Melayu Islam tidak boleh menghormati nasihat Raja-raja percayalah orang macam ini tak akan menghormati sama sekali rakyatnya sendiri.

“Dia akan terus bernafas dalam politik dengan cara memainkan isu seperti ini walaupun Majlis Raja-raja nasihat sebaliknya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR Kedah, hari ini.

Menurut laporan media, Muhyiddin pada ceramah di Kapar, Klang mendakwa isu kalimah Allah menunjukkan Kerajaan Perpaduan kini diterajui oleh bukan Islam.

Muhyiddin berkata, ketika menggalas tugas sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau mendakwa menerima tekanan daripada DAP untuk tidak mengemukakan rayuan.

Saifuddin Nasution turut mendakwa, Muhyiddin juga tidak menghormati keputusan dibuat jemaah Kabinet semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Semasa Muhyiddin dan saya dalam jemaah menteri bawah pentadbiran Dr Mahathir, Kabinet pernah buat keputusan bahawa kes yang sedang dibicara di mahkamah berkait dengan isu ini, keputusan Kabinet ialah kes seperti ini dibuat penyelesain di luar mahkamah.

“Malangnya Muhyiddin tak pernah menghormati keputusan Kabinet ini tak diusahakan penyelesaian diluar mahkamah sepertimana diputuskan Kabinet  yang dipengerusikan Mahathir dan Muhyiddin menteri KDN masa itu,” katanya. – MalaysiaGazette