KUALA LUMPUR – Prinsip cukai tidak membebankan rakyat antara perubahan besar yang dibuat oleh kerajaan dan ia akan dimasukkan dalam Belanjawan 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang pembaharuan dalam percukaian negara harus dilihat mesra kepada masyarakat awam dan komuniti perniagaan.
“Sebab kita mahu pastikan pelabur sama ada luar atau dalam negara dapat melihat peluang untuk terlibat dalam dunia perniagaan seperti satu penghargaan kepada mereka.
“Pada masa sama kita ingin mereka rasa semangat kekitaan dan bertanggungjawab iaitu sama dengan konsep amanah yang dipikul terhadap keluarga, masyarakat dan negara,” kata Anwar.
Menurut beliau prinsip tersebut adalah selaras dengan Ekonomi Madani yang dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini dalam memperkasakan rakyat terutama golongan miskin dan terpinggir.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Cukai Kebangsaan anjuran bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM), di sini, hari ini.
Anwar berkata, LHDN memegang amanah dan tanggungjawab yang besar dalam mengutip cukai dan memastikan kewangan kerajaan tidak disalahgunakan.
Perdana Menteri berkata, beliau terbuka untuk mendengar dan menerima sebarang pandangan dan pendapat daripada LHDN dan CTIM berkaitan reformasi percukaian negara.
Katanya, kaedah percukaian yang lebih canggih, lebih telus dan terikat kepada tatakelola yang baik untuk mengelak sebarang salah laku dan ketirisan akan menjadi pendekatan utama.
“Bagi negara kita, dasar kita adalah untuk mencukai apabila ia benar-benar perlu dan tidak boleh dianggap sebagai beban oleh pembayar cukai.
“Hasrat kami adalah untuk menggalakkan mereka menjadi lebih kondusif dan menyumbang kepada negara.
“Tetapi untuk pertumbuhan ekonomi yang bercita-cita tinggi dan menyumbang kepada kebajikan mereka yang lemah dan terpinggir institusi cukai dan agensi mestilah sangat cekap, bersih dan berkesan,” tegas beliau.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LHDM Datuk Dr. Mohd. Nizom Sairi, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Presiden CTIM, Chow Chee Yen.-MalaysiaGazette