Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) diminta menamatkan mogok lapar dan bersabar.

Timbalan Menteri di Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, cadangan penambahbaikkan SOSMA sedang diteliti bersama Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.

“Sehubungan itu, saya memohon kepada kesemua ahli keluarga tahanan di bawah SOSMA yang sedang melakukan tindakan mogok lapar ini untuk terus bersabar.

“Dan menamatkan tindakan mogok lapar tersebut sementara proses reformasi undang-undang berjalan dan demi kanak-kanak kecil yang kelihatan hadir bersama di luar perkarangan Penjara Sungai Buloh, Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas laporan media keluarga kepada 69 tahanan SOSMA melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh bermula semalam.

Menurut Ramkarpal, usaha penambahbaikkan kepada SOSMA 2012 mengikut kesesuaian dan yakin cadangan penambahbaikkan akan diangkat untuk pertimbangan kerajaan dalam masa yang terdekat.

Tambah beliau, sebanyak 12 sesi libat urus yang dipengerusikannya telah dimulakan pada Februari lalu di seluruh negara.

Sesi berkenaan turut dihadiri beberapa ahli keluarga tahanan yang dilihat turut melakukan mogok lapar.

“Cadangan penambahbaikkan kepada SOSMA 2012 yang diteliti pada masa ini sedang mengambil kira hasil daripada dapatan kesemua sesi libat urus di atas bagi memastikan penambaikkan yang dicadangkan adalah sesuai dengan keadaan semasa,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Presiden Kebangsaan Nambikkai, Datuk Dr Kalai Vanar berkata, mogok itu adalah untuk menggesa kerajaan membebaskan semua tahanan dan memansuhkan SOSMA.

Menurutnya, tahanan SOSMA diletakkan di dua penjara iaitu 34 orang di Penjara Sungai Buloh dan selebihnya di Penjara Alor Setar.

Seramai 34 banduan SOSMA di Sungai Buloh telah memulakan mogok lapar pada 30 Julai dan diikuti ahli keluarga tahanan sehari selepas itu. – MalaysiaGazette