KUALA LUMPUR – Seorang warga emas wanita rentung dalam kebakaran yang berlaku di sebuah pusat jagaan di Jalan 5/31, Seksyen 5 pada awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Mad Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian berkenaan pada jam 3.30 pagi.

Jelasnya, penghuni rumah tersebut bertindak menyelamatkan diri masing-masing sejurus kebakaran berlaku.

“Semasa kejadian, terdapat 14 penghuni termasuk penjaga bertindak menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan.

“Bagaimanapun, terdapat seorang mangsa wanita tempatan berusia 69 tahun ditemukan rentung di atas katil dalam sebuah bilik di kediaman itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, orang awam berjaya memadamkan api sebelum ketibaan pasukan penyelamat namun warga emas berkenaan tidak dapat diselamatkan.

Sementara itu Wan Md Razali berkata, pihak bomba sedang menjalankan siasatan untuk mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast