Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Ceramah Kita Selangor Arus Merah Kuning Dun Semenyih sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Beranang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 01 OGOS 2023.

SEMENYIH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak lena tidur mengenangkan nasib orang miskin yang melarat.

Ketika berceramah di hadapan ratusan penyokong Pakatan Harapan (PH) pada siri Jelajah Perpaduan di sini malam tadi, Anwar menegaskan, beliau bertekad mahu menoktahkan kemiskinan.

Katanya, beliau mendengar rungutan daripada keseluruhan rakyat dan tekad itu kemudiannya muncul dalam dirinya.

“Ahli Parlimen Pas cabar, mana ada (PH) selesaikan masalah kemiskinan. Mengaji tak habis.

“Khalifah Umar Ibnu Khattab selesaikan masalah kemiskinan dalam masa setahun.

“Saya Perdana Menteri hari ini, ada orang kampung tak cukup duit nak beli susu. Ada anak India tak ada duit nak beli uniform sekolah, saudara ingat saya tidur lena,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi PH memuji peribadi bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang bertungkus-lumus mahu membantu rakyat miskin.

Katanya, sikap dan peribadi yang ditunjukkan oleh Allahyarham Salahuddin itu perlu dicontohi dan ia merupakan satu sikap yang terpuji.

“Negara ini kaya, tapi kalau sakau (curi), negara tak boleh dibina.

“Kita cuba sedaya upaya lapan bulan ini, kita hilang Allahyarham Salahuddin Ayub, menteri yang kerja kuat…dia kerja sungguh-sungguh,” ujarnya. – MalaysiaGazette