PUTRAJAYA – Pemilik lesen memandu hanya perlu menjalani ujian litar dan amali untuk memohon lesen kelas berbeza iaitu pengecualian kursus serta ujian teori.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penyeragaman itu akan berkuat kuasa mulai 15 September ini dengan pengurangan yuran lesen sebanyak RM100.
“Sebagai contoh, seseorang yang sudah lulus ujian KPP01 (Teori) bagi lesen memandu motosikal tidak perlu menduduki KPP01 kali kedua apabila ambil lesen memandu motokar,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.
Tambah Anthony, ketetapan baharu mengenai Kursus Teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) itu dapat memudahkan pengambilan lesen memandu terutama kepada anak muda.
Mengikut peraturan sedia ada, mereka yang ingin mendapatkan lesen motosikal dan kereta secara berasingan perlu menduduki dua ujian teori.
Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha itu dibuat selepas mendapat rungutan dan maklum balas orang ramai.
“Inisiatif ini diharap membantu rakyat Malaysia mendapatkan lesen memandu tanpa menjejaskan tahap kecekapan pemandu.
“Ini juga bagi menjimatkan masa dan kos mendapatkan lesen memandu yang sah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memelihara kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Arahan menteri rasanya sudah cantik..tetapi bila dipraktikkan dibawah akan jadi lain..adakah ketua pengarah dan pegawai pegawai penguatkuasa lebih berkuasa dari menteri boleh mengubah arahan asal..sama dgn perlaksanaan roadtax yg telah diputar belit oleh kakitangan , dulunya pegawai JPJ atau Polis yg akan mengakses tetapi kini pengguna pula dibeban..