Gambar hiasan

JOHOR BAHRU -Kerajaan Johor terus memberikan perhatian terhadap infrastruktur dan prasarana di dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bagi melancarkan pengoperasian pintu sempadan negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor,  Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, satu mesyuarat telah diadakan antaranya bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurutnya, mesyuarat yang turut melibatkan pelbagai pihak berkepentingan itu membincangkan projek dan isu berbangkit di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Insya-Allah, banyak cadangan penambahbaikan yang akan diperhalusi lagi dan Kerajaan Negeri Johor sangat komited untuk memastikan operasi di pintu masuk negara berjalan dengan lancar,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohamad Fazli berkata, terdapat projek dalam pelaksanaan di BSI dan KSAB demi keselamatan dan keselesaan petugas serta orang ramai.

Antaranya projek melibatkan BSI adalah penggabungan kaunter Jabatan Imigresen Johor (JIM) dan PLUS Malaysia Berhad, projek ubah suai dewan pejalan kaki dan penumpang, projek ‘Fan Coil Unit’ (FCU) di laluan kereta keluar Malaysia, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan bumbung di laluan motosikal masuk (MBIKE).

Manakala bagi KSAB pula, projek kaunter tambahan M-BIKE 2.0, penggantian dan penambahan papan tanda dan papan tanda elektronik, pondok penyelia JIM serta projek balai polis,katanya.- MalaysiaGazette