Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

HULU LANGAT – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak terlalu optimis untuk mendapat kemenangan bagi semua 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada pilihan raya di enam buah negeri yang akan berlangsung 12 Ogos ini.

Sebaliknya, parti itu tidak akan meremehkan setiap undi dan usaha berterusan untuk bertemu dengan pengundi dilakukan sehinggalah pada hari terakhir berkempen, kata Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, beliau selalu menekankan kepada kepimpinan MUDA supaya tidak risau dan bimbang terhadap apa jua ramalan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu kerana parti ini mempunyai matlamat perjuangannya sendiri.

“Saya secara jujurnya tidak ingin (menaruh harapan tinggi) sebab kita ni ‘underdog’.

“Kita akui tidak mudah, kena ada rintangan dan cabarannya yang tersendiri. Tetapi, kita di sini untuk melabur bagi masa depan negara.

“Kita tak nak jadi terlalu angkuh dan yakin seperti ada pihak yang kata, mereka akan menang 53 daripada 56 kerusi, akan menang besar, pembangkang tidak akan ada, lenyapkan pembangkang…saya tidak ingin berpandangan sebegitu,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Beliau ditemui ketika berkempen menemani calon MUDA bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, Al Hafiz Ikhwan di Taman Sri Nanding, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, apa yang difokuskan oleh MUDA dalam perjuangannya merupakan pelaburan bagi negara untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Sementara itu, ditanya mengenai tawaran yang boleh diberikan oleh MUDA sekiranya calon-calon yang bertanding memenangi kerusi yang ditandingi, beliau berkata, meskipun MUDA tidak memiliki kuasa diperingkat Persekutuan mahupun negeri, namun, parti itu mampu membawa suara rakyat.

Katanya, wakil rakyat MUDA boleh menjadi penyemak dan imbang kepada rakyat terhadap dasar-dasar yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan.

“Sebab itu dalam bab ini, walaupun tidak berkuasa, MUDA ingin fokus bawa suara rakyat sebagai semak dan imbang untuk pastikan bahawa ‘wake up call’ rakyat yang jelas dapat dihantar.

“Jangan dulu kata lain kini buat lain…kerajaan perlu percepatkan tunaikan janji-janji. Kerajaan perlu sentiasa berkhidmat bantu bela rakyat isu kos sara hidup, pastikan bahawa isu banjir besar dapat dikendalikan dengan baik.

“Kesemua isu-isu iniakan MUDA bawa sebagai semak dan imbang untuk pastikan bahawa suara rakyat itu tidak akan dilenyapkan,” tegasnya. – MalaysiaGazette