Saifuddin Nasution Ismail

JITRA – Tidak sampai 12 jam Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa beliau mempunyai ‘bom atom’ mengenai isu unsur nadir bumi (REE), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula berkata, pihaknya juga mempunyai ‘peluru besaq’ terhadap isu berkenaan.

“Jangan fikir dia (Sanusi) sahaja ada bom atom. Saya pun ada dan saya fikir dia tahu apa yang saya ada.

“Siapa yang nak lepaskan (keluarkan) dahulu, saya tidak ada masalah ,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan utama (BGU) DUN Jitra, pagi ini.

Semalam, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikaran Nasional (PN) mengajak Saifuddin Nasution menghentikan perdebatan mengenai isu REE yang dilihat menjadi modal kempen pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Sanusi berkata, ajakan tersebut dikemukakan kerana beliau mendakwa memiliki satu lagi maklumat penting berkaitan isu terbabit yang mungkin akan mengejutkan pihak lawan khususnya Saifuddin dan Pakatan Harapan (PH) yang bersama Barisan Nasional (BN).

Saifuddin Nasution berkata, untuk menghentikan pendedahan mengenai REE di Kedah bukan satu pilihan buat masa ini.

“Menghentikan pendedahan (REE) bukan satu pilihan, dia nak berpakat supaya henti serangan antara sesama sendiri, ini aset rakyat Kedah.

“Setakat peluru besar jangan sembang. Saya pun ada peluru bagi tahu dia peluru saya pun besar juga,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, pendedahan Sanusi mengenai Riza Chalid amat berbeza dengan pendedahan beliau sebelum ini.

Jelasnya, Sanusi cuba mengetengahkan motif pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan warga Indonesia, Riza Chalid yang mendakwa ada memohon untuk mengusahakan REE di Kedah.

“Berbeza pendedahan saya, apa yang saya tunjuk ialah surat dan gambar. Semua bukti itu boleh banding dengan apa yang Sanusi sebut, the honest is on him (kejujuran terletak padanya) sebab dia yang keluarkan kenyataan itu,” katanya lagi.

Isu REE semakin kuat diheret oleh kedua-dua pihak sama ada Saifuddin mahupun Sanusi tatkala kempen PRN sudah memasuki hari keenam. – MalaysiaGazette