KUANTAN – Seorang penunggang maut selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah kenderaan lain ketika membuat pusingan U mengejut dalam keadaan melawan arus di Damansara dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Mohd Shafee Ramli, 59, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Iinsiden yang berlaku 4.35 petang itu melibatkan motosikal berkenaan dengan sebuah kereta Proton Satria Neo yang datang dari arah Gebeng menghala ke Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa telah menyeberang jalan dari belah kiri jalan untuk membuat pusingan-U secara mengejut menyebabkan pemandu kereta yang bergerak lurus terlanggar bahagian hadapan motosikal mangsa.
”Hasil pemeriksaan mendapati cukai jalan motosikal jenis Kriss Modenas yang ditunggang oleh mangsa itu telah tamat tempoh pada tahun 2011, kira-kira lebih 12 tahun lalu,” katamya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Foresik Hospital Tengku Ampuan Afzan.
Siasatan lanjut masih dilakukan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkuan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazatte