KUANTAN – Polis sedang memburu seorang lelaki, dipercayai warga tempatan selepas merompak seorang wanita dengan mengacukan satu objek yang menyerupai pistol di sebuah gerai menjual durian dekat Bentong, semalam.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berusia 38 tahun bersendirian di gerai tersebut.

Ketua Polis Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa terpaksa berputih mata selepas wang jualan berjumlah RM850 dilarikan.

Menurutnya, mangsa yang sedang bekerja di gerai di tepi jalan berhampiran Kawasan Perindustrian Benus, Bentong Pahang pada jam 3.20 petang telah didatangi seorang lelaki yang memandu Proton Wira.

“Mangsa telah diacukan dengan senjata yang menyerupai objek seperti pistol dan suspek meminta mangsa menyerahkan wang tunai yang ada,” katanya menerusi kenyatan hari ini.

Zaiham berkata, mangsa telah menyerahkan semua wang tunai jualan durian sebelum  suspek melarikan diri dengan menaiki kenderaan sama.

Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian itu bagaimanapun dirakam oleh netizen yang berada berhampiran kedai tersebut.

Dalam rakaman itu, lelaki berkenaan bergegas keluar sebaik sahaja mendapat wang.

Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu rompak dengan menggunakan senjata yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan dikenakan sebatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast