Tengku Zamrah
Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (kanan) mengedarkan risalah kempen kepada orang ramai di sekitar kawasan Gedong Lalang, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Tengku Zamrah Tengku yakin  pengundi di kawasan itu akan membuat pilihan atas faktor parti dan bukannya populariti.

Ketua Wanita PKR Cabang Seremban itu percaya semangatnya untuk memenangkan PH adalah lebih kuat berbanding calon bebas, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek dan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Ghazali Zainal Abidin.

“Setakat ini alhamdulillah, pengundi yang saya jumpa kebanyakannya positif dan semuanya gembira.

“Ia bukan soal muka baharu atau lama, tengok kepada parti,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas mengedarkan risalah kempen kepada orang ramai di sekitar kawasan Gedong Lalang, Ampangan di sini, hari ini.

Mohamad Rafie yang merupakan bekas pemimpin PKR dijangka memberi tentangan sengit dalam usaha PH untuk mempertahankan kerusi DUN Ampangan.

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat selama sepenggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan dan Exco Kerajaan Negeri Sembilan.

Setelah namanya digugurkan daripada senarai calon PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Mohamad Rafie membuat keputusan bertanding sebagai calon Bebas.

Tengku Zamrah, 64, memberitahu, sekiranya beliau memenangi kerusi DUN Ampangan, tumpuannya adalah dari segi pembangunan wanita, generasi muda dan ekonomi.

“Selain itu, saya akan memberi perhatian kepada isu-isu berkaitan infrastruktur termasuk di pasar-pasar awam sekitar kawasan Ampangan,” jelasnya. – MalaysiaGazette