Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berucap pada program Jelajah Mega PN Best sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Dataran Darul Aman Jitra, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 02 OGOS 2023.

KUALA KEDAH – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan gabungan Perikatan Nasional (PN) secara tidak rasmi mendahului gabungan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN).

Biar pun kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri masih berbaki tujuh hari, Shahidan berkata, PN sudah memperoleh 34 kerusi setakat ini di Selangor. 

“Pertama Kedah kita (PN) akan menang 36 kerusi  di Pulau Pinang kita akan menang lebih dua kerusi iaitu 22 lawan 18 kerusi.

“Di Selangor, kami sudah mendahului 34 kerusi dan hampa (PH-BN) 22 kerusi,” katanya dalam ceramah gelombang PN Best di UDM Seberang Kota, Kuala Kedah malam tadi.

Bagi dua negeri di Pantai Timur, Shahidan turut menjangkaka PN akan menyapu bersih kesemua kerusi di Terengganu dan Kelantan.

“Kelantan insya-Allah kot (menang) 40-0. Terengganu 32-0. Kemenangan kami adalah sokongan daripada PN dan orang UMNO,” katanya lagi.

Bercakap mengenai Negeri Sembilan, Shahidan  akan turun ke negeri berkenaan minggu depan.

Katanya, ia memandangkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan menjadi kerusi terhangat kerana ditandingi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“(DUN) Rantau ini sebab Menteri Pertahanan bertanding, tunggu saya turun Isnin depan.

“Kawasan lain (di Negeri Sembilan) kita tidak mahu kacau sebab insya-Allah kita dapat tapi DUN Rantau depa kata hebat. Tunggu saya turun sebab calon tak berapa sihat, saya tunggu bagi dia rehat dua hari lagi.

“Bila dia sihat, saya nak ceramah dekat dia supaya dia tarik diri dan beri sokongan kepada PN,” katanya berseloroh. – MalaysiaGazette