KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia memandang serius kes Iki Putra Mubarak yang disifatkan sebagai mempersendakan undang-undang syariah.
Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif menegaskan, isu keputusan Mahkamah Syariah yang kemudian dicabar di Mahkamah Sivil dalam kes itu mengakibatkan keputusannya dilihat tidak berperlembagaan dan melemahkan sistem.
Ujar beliau, tindakan yang lambat, selain tidak menyeluruh serta acuh tak acuh kerajaan iaitu Perdana Menteri, Menteri Undang-undang dan Menteri Agama akan merencatkan lagi usaha pemerkasaan undang-undang syariah yang melindungi agama Islam selaku agama bagi persekutuan.
“Kita memandang tinggi dan menyokong keperluan memperkasa, menyeragamkan dan menambahbaik sistem kehakiman dan perundangan syariah yang telah di usahakan sebelum ini oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Islam) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan pasukannya sentiasa diberi perhatian utama.
“Namun, perpaduan yang dibawa oleh kerajaan hari ini bukan lesen untuk pemimpinnya mengabaikan usaha suci ini.
“Apabila Islam agama Persekutuan, sepatutnya undang-undang syariah dan Makhamah Syariah berada di atas Makhamah Sivil,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Semalam, Dr. Zulkifi melahirkan kebimbangan dengan kes Iki Putra Mubarak yang dikatakan akan memberi kesan domino yang boleh menjatuhkan satu persatu undang-undang syariah peringkat negeri.
Bekas Menteri dilaporkan berkata, undang-undang syariah seolah-olah boleh disepak terajang dan dinyahkan walaupun hanya dengan mahkamah majistret atau mahkamah rendah sivil.
Beliau mendakwa, apabila pertembungan berlaku antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil – kes akan sentiasa berpihak kepada Mahkamah Sivil.
Menurut beliau, satu-satunya jalan bagi menyelamatkan undang-undang syariah adalah melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Nasrul Ali Hasan berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dahulunya terkenal sebagai aktivis Islam sewajarnya mengambil langkah tegas dan tidak beretorik dalam usaha memperkasakan undang-undang syariah.
Ini ujarnya, supaya undang-undang itu tidak disepak terajang dengan mudah apabila keputusan yang telah dibuat di Mahkamah Syariah dicabar di Mahkamah Sivil. – MalaysiaGazette