KUANTAN – Sejak berusia tujuh tahun, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah sudah menzahirkan visinya untuk melihat Pahang sebagai negeri taman hijau.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, visi itu dizahirkan puteranya kepada pengawal peribadinya yang dikenali Pak Zaman ketika dalam perjalanan keretapi di Paris.
“Hasratnya negeri hijau, setiap rumah harus ada taman dan pokok dan paling terharu memasang impian bina statue ayahandanya berdiri seperti melambangkan dari sudut mata melihat Pahang, impiannya ketika sejak kecil.
“Malah ketika usianya tujuh tahun, Tengku Hassanal ingin bina ‘Disneyland Pahang, memberikan perkhidmatan pengangkutan percuma, pendidikan percuma kepada rakyat.
“Itulah impiannya pada ketika itu,” titahnya ketika merasmikan Pahang In Nature di Muzium Seni Kontemporari dekat sini malam tadi.
Tambah Tunku Azizah, kecintaan menjaga dan memulihara alam sekitar dan semula jadi merupakan didikan awal serta sifat sinonim dengan jiwa Tengku Hassanal sehinggalah baginda meningkat dewasa.
Tunku Azizah berbangga dengan sikap tegas anakanda baginda dalam isu berkaitan alam sekitar sentiasa menasihati puteranya bahawa kelestarian alam sekitar tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
“Beta sering mengingatkan Tengkut Hassanal bahawa baginda tidak boleh menggantikan alam sekitar, tidak kira berapa juta yang dimiliki.
“Dari kecil, Tengku Hassanal terpaksa mendengar ‘pot pet pot pet’ bondanya mengenai alam sekitar.
“Keindahan alam semula jadi tidak boleh diganti apabila ia musnah, anda tidak boleh memulihkan apa yang ada pada alam semula jadi.
“Kini baginda berjaya menyedarkan rakyat bahawa alam semula jadi di Pahang perlu dikekalkan,” titahnya.
Jelas baginda, rakyat akan memahami segala tindakan tegas diambil memulihara alam semula jadi untuk melindungi Pahang yang menjadi Legasi baginda.
‘Pahang In Nature’ mempamerkan 33 buah lukisan yang dihasilkan oleh artis anak jati Pahang, Tengku Datuk Marina Tengku Ibrahim yang memaparkan keunikan alam semula jadi Pahang. – MalaysiaGazette