Anwar Ibrahim semasa berucap di hadapan ribuan pelajar Matrikulasi Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Kepala Batas petang tadi.

KEPALA BATAS – Kerajaan Malaysia Madani berhasrat untuk memperkenalkan jenis sekolah baharu yang menyasarkan anak golongan keluarga paling miskin di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,cadangan pelaksanaan sekolah itu itu akan berpandukan kepada kerangka sekolah menengah sains dengan kemudahan berasrama penuh yang memfokuskan kepada golongan anak termiskin .

Kata beliau, hasratnya menubuhkan sekolah sains bertujuan paling utama bagi memastikan anak-anak dari golongan keluarga paling miskin mendapat peluang mengakses pendidikan walaupun keputusan peperiksaan utama mereka kurang cemerlang atau tidak memberangsangkan.

“Ini (cadangan sekolah khusus untuk anak termiskin) sudah pasti akan memberi makna manusiawi dan keadilan kepada anak miskin itu.

“Akses dan peluang perlu disediakan secara saksama bagi membolehkan tiada mana-mana golongan yang tercicir dari arus pendidikan negara, dan kita ada pendemokrasian mutu pendidikan bagi membolehkan semua berhak (mendapatkan akses pendidikan).

“Ketika ini, semua pihak berhak (akses pendidikan). Nama sahaja berhak tetap sekolah di Manik Urai, Kelantan; Kapit, Sarawak;Pulau Pinang dan Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak tetap ada kesenjangan,” kata beliau semasa berucap dalam Majlis Temu Anwar Bicara Pendidikan Madani di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Bertam di sini petang tadi.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Dalam perkembangan sama Ahli Parlimen Tambun itu juga menasihatkan anak anak muda matrikulasi itu supaya menjadikan amalan membaca sebagai budaya tetap dalam kehidupan harian untuk menjamin masa depan yang cerah.

Katanya, anak-anak sekarang terbeban dengan masalah baharu dan tiada pilihan lain kecuali perlu bangkit menguasai ilmu ketrampilan kemahiran lebih dari generasi dahulu kalau hendak menjadikan Malaysia hebat semula.

“Kalau saya mahu jadikan Malaysia hebat semula untuk itu anak-anak muda pelu bangkit menguasai ilmu.. jangan sesekali fikir enteng atau remeh kerana ini tanggungjawab bersama kita semua dan belajar secara serius, jangan main-main dalam menuntut ilmu,” tegasnya.-MalaysiaGazette