KUALA LUMPUR – Penyanyi, Shila Amzah kini sah bergelar isteri kepada Muhammad Ubaidillah Mohd Zukfelfi hari ini selepas tiga bulan mengikat tali pertunangan.
Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Amir Amzah Salleh atau ND lala dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Razak Ampang, Mohamad Khairi Hussein.
Majlis pernikahan pasangan itu diadakan di The Boathouse Ampang, Kuala Lumpur.
Ubaidillah atau Ubai menyerahkan RM20,000 sebagai mas kahwin berserta tujuh dulang hantaran manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.
Pengantin perempuan turut menyerahkan lima dutang hantaran kepada pihak lelaki.
Sementara itu, pasangan pengantin kelihatan anggun dan kacak dalam persalinan sedondon berona putih rekaan Zaimi Zulkafli.
Majlis bertemakan rona putih itu turut disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak, sahabat handai dan rakan media yang membuat liputan pernikahan pasangan berkenaan.
Antara rakan artis yang hadir termasuk Marsha Milan, Amylea Azizan, Jaclyn Victor, Fara Fauzana, Zara Zya, Jihan Muse dan ramai lagi.
Pasangan ini akan diraikan dalam dua majlis resepsi yang akan diadakan secara sederhana membabitkan keluarga, rakan artis dan rakan kongsi dari pelbagai negara.
Pada 27 Mei lalu, Shila mengikat tali pertunangan dengan Ubai yang diraikan dalam sebuah majlis tertutup dihadiri rakan rapat dan saudara terdekat.
Shila dikatakan rapat dengan Ubai pada awal Februari lalu sebelum menjalinkan hubungan cinta.
Sebelum ini, Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan dengan Haris Idraki Elias pada April 2018 namun hubungan mereka berakhir dengan penceraian pada Februari 2022.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Seth Uwais yang kini berusia empat tahun. – MalaysiaGazette