52 peserta yang terbabit dalam Kursus Pengurusan dan Kepegawaian Karnival Sukan OKU PPDK diadakan membuat lawatan tapak ke Stadium Darul Makmur bagi membuat perancangan acara balapan sukan berkenaan pada semalam.

KUANTAN – Sekurang-kurangnya seramai 440 atlet dijangka menyertai Karnival Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Negeri Pahang yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM250,000 bagi menjayakan acara acara sukan itu sebagai sokongan kepada anak istimewa.

“Jumlah penyertaan mengambil kira penyertaan dari 53 buah PPDK dari 11 daerah Pahang menyertai acara ini selain 10 peserta jemputan dari Sekolah Pendidikan Khas.

“Sesi latihan dan saringan diadakan mengikut empat zon melibatkan Kuantan, Temerloh, Raub dan Jerantut pada September nanti bagi memberi pendedahan kepada peserta.

“Penyertaan dibuka kepada pelatih PPDK berusia 15 tahun ke atas membabitkan tujuh acara dipertandingkan bagi kategori lelaki dan wanita,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Tujuh acara tersebut ialah sukan olahraga 100m, 200m, 400m, lompat jauh, lontar peluri, bocce dan acara sukaneka.

Sabariah berkata, penganjuran temasya julung-julung diadakan ini bagi menghidupkan budaya bersukan di samping mencungkil bakat baru dan mencari pelapis dalam kalangan komuniti tersebut.

Tambah Sabariah, bagi menjayakan temasya itu, satu kursus Pengurusan dan Kepegawaian Karnival Sukan OKU PPDK membabitkan penyertaan 52 peserta diadakan di Hotel Sri Manja pada 4 hingga 6 Ogos.

Pada 16 Februari lalu,  Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang menganjurkan Kejohanan Paraolahraga PPDK di Pusat Asasi Univerisiti Islam Aantarabangsa Malaysia cawangan Gambang dan Acara Para Power Lifting pada 18 Februari di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan. – MalaysiaGazette