Anwar berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Kampung Melayu, Pulau Pinang malam tadi.

GEORGE TOWN – Keadaan kediaman Flat Kampung Melayu yang hanya dilengkapi dengan satu bilik menimbulkan persoalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menyifatkan keadaan kediaman itu sempit bagi sesebuah keluarga sebelum meminta Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh untuk memberi perhatian berhubung perkara terbabit.

“Flat ini berapa bilik ada? Satu bilik? Saya dengan Ramkarpal ingat, kita mesti cari jalan bangunkan (Flat Kampung Melayu).

“Mana boleh duduk dalam keadaan dalam keadaan begini. Saya akan bincang dengan Kerajaan Negeri kita cuba bawa perubahan kepada Kampung Melayu.

“Saya tak boleh janji lebih kerana ini pilihan raya, kalau saya janji salah (berdasarkan) peraturan pilihan raya tapi percayalah ada kuasa kita mesti laksanakan dengan baik,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di  pekarangan luar Kampung Melayu, Air Itam di sini, malam semalam.

Terdahulu, Anwar menyifatkan sambutan kehadirannya ke lokasi berkenaan luar biasa sekali gus menunjukkan rata-rata penduduk menyokong pentabdiran Kerajaan Perpaduan.

Flat Kampung Melayu Air Itam adalah antara rumah pangsa terawal di Pulau Pinang yang dibina hujung tahun 1950an.

Ia merangkumi dua blok membabitkan pembinaan 15 tingkat serta setiap unit berkeluasan 550 kaki persegi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast