Temubual bersama Peguam Lukman Sheriff isu bidang kuasa Mahkamah Syariah di Ukay Perdana , Ampang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 05 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang peguam memberi amaran bidang kuasa mahkamah syariah mengalami ancaman susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Iki Putra Mubarak pada 2021.

Menurut Lukman Sheriff Alias, 54, keputusan kes itu juga bakal mengurangkan bidang kuasa raja-raja untuk melihat penguatkuasaan enakman jenayah syariah.

“Implikasinya amat besar kerana selama ini banyak (enakman) jenayah syariah yang kita sudah amalkan selama beratus tahun sebenarnya, kalau dijejaki (sejak) dari zaman Melaka, sebelum Portugis datang, undang-undang Islam adalah perundangan tanah air.

“Tetapi kalau kita lihat (keputusan kes) Iki Putra makin kecil ruang nak kuatkuasa jenayah syariah.

“Ini sebenarnya memberi kesan kepada bidang kuasa negeri untuk mengubal undang-undang syariah dan juga secara umum, seorang boleh lihat kuasa sultan sebagai ketua agama negeri makin berkurangan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Pengerusi Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat Malaysia (MACSA) itu, keputusan kes Iki Putra mungkin akan dijadikan rujukan bagi menentang kanun jenayah syariah dikuatkuasakan pada masa depan.

Terbaharu melibatkan dua peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan.

Kes tersebut akan dibicarakan pada 18 Ogos ini di Mahkamah Persekutuan Kota Bharu, Kelantan.

“Kes Nik Elini akan berlangsung kita tidak boleh bincang dengan mendalam. Secara am kes ini mencabar beberapa peruntukan enakmen syariah negeri Kelantan. Jadi dia bergantung, berdasarkan, melihat kepada hujah dia, dia cuba kemukakan berdasarkan kes Iki Putra.

“Cuma nak menunjukkan bahawa terdapat cabaran ke atas enakmen peruntukan syariah Kelantan,” kata Lukman Sheriff.

Lukman Sheriff antara 200 peguam yang menandatangani petisyen pada Mac 2021 bagi mendesak dilakukan pindaan Perlembagaan susulan kes Iki Putra.

Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berbeza daripada keputusan sebelum ini, sekali gus menghadkan lagi bidang kuasa negeri menggubal jenayah syariah.

Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor.

Namun disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, Iki Putra mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.

Pada 25 Februari 2021 Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang Iki Putra dan sekaligus mengenepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Islam) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, kes Iki Putra akan memberi kesan domino yang boleh menjatuhkan satu persatu undang-undang syariah peringkat negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Tak habis2 nak kelirukan rakyat…isunya simple jaa..kesalahan jenayah yg telah ada dalam undang2 sivil tidak boleh ada dalam undang2 syariah. Tak kan lepas charge kat mahkamah sivil lepas tu charge lg kat mahkamah syariah..ko gila kaaa?? Kecuali lah kamu pinda perlembagaan. Bukan kesalahan liwat ja, kesalahan rogol, kesalahan membunuh, merompak dll..semua ada dlm Undang2 Sivil. Kenapa cuma jenayah liwat jaa ko bising? Jenayah membunuh ko tak nak masukkan dlm bidang kuasa Undang2 syariah kaa? Jenayah rogol? Sudah2 laaa nak kelirukan rakyat…peguam konon..perlembagaan pun jahil

Comments are closed.