KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini berbincang mengenai cadangan Dasar Gaji Progresif sebagai satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji pekerja dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten dan pengagihan gaji lebih seimbang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat MTEM berkata, dasar gaji progresif adalah bersifat sukarela, berteraskan insentif, dan terkait dengan produktiviti.
Katanya, model dasar ini diusulkan setelah MTEN mengambil kira pandangan dan kepentingan pihak majikan dan pekerja.
Dasar ini, menurut beliau, yang merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum, akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan, dan peringkat.
Perdana Menteri berkata, sesi libat urus dan tinjauan awal telah menunjukkan sebanyak 62 peratus pekerja dan 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif dan berharap dasar ini akan menerima sambutan serta penyertaan banyak syarikat dan pekerja yang mungkin.
“Memperkasa Rakyat merupakan wadah yang menetapkan halatuju negara dalam tempoh sederhana terutamanya untuk meletakkan negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan di kalangan 30 ekonomi terbesar dunia.
“Dalam masa yang sama, berikutan peratusan pendapatan pekerja Malaysia (wage share ratio) telah menurun daripada 37.2% pada 2020 kepada 32.4% pada 2022, Kerajaan menetapkan sasaran nisbah ini agar meningkat kepada 45% daripada jumlah keseluruhan pendapatan.
“Isu gaji merupakan perkara pokok yang tidak boleh diabaikan lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Anwar, berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dibentangkan pada minggu lepas, lebih 2 juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.
Katanya, situasi ini lebih membimbangkan buat golongan muda antara umur 20-24 tahun di mana gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 sebulan.
“Bagi kebanyakan pekerja Malaysia, gaji hanya akan meningkat kepada RM3,500 pada paras tertinggi sekitar umur 40-49 tahun sepanjang kerjaya mereka,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan, terutamanya para pemain industri, perniagaan dan pekerja akan dilaksanakan selepas ini.
Dapatan perbincangan, katanya, akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mekanisma pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan untuk memperuntukkan dana sebagai insentif dasar ini yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan Kerajaan dan keperluan dasar.
“MTEN berpandangan bahawa Dasar Gaji Progresif merupakan salah satu reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan gaji yang bermaruah, demi kesejahteraan rakyat dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara,” katanya. – MalaysiaGazette