KUALA LUMPUR – Kes berkaitan Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan di Mahkamah Persekutuan masih di peringkat prosiding di Mahkamah Persekutuan, sehubungan itu sebarang komentar berkaitannya diklasifikasikan sebagai sub-judice.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam bagi memastikan undang-undang syariah yang telah digubal oleh Badan Perundangan Negeri dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Jadual Kesembilan, Senarai 2, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Badan Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah Syariah bagi kesalahan-kesalahan yang berhubung dengan pelanggaran rukun-rukun Islam.
“Peruntukan tersebut juga telah diperkenan oleh Sultan dan Raja Pemerintah di setiap negeri sebelum dikuatkuasakan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan mempertahan dan menambah baik institusi kehakiman syariah di Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: https://malaysiagazette.com/2017/11/16/tutup-kepala-nik-elin-harus-bertaubat-perkasa/
Dalam masa yang sama Mohd Na’im menyeru pihak berkuasa agama Islam negeri, badan-badan berkanun berkaitan agama Islam dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama supaya terlibat dalam kes berkenaan sama ada sebagai pencelah (intervener), watching brief atau sahabat mahkamah (amicus curiae).
Sebagai rekod, seorang peguam kelahiran Kelantan dan anaknya sebelum ini mengemukakan cabaran cabaran Perlembagaan berhubung 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1).
ARTIKEL BERKAITAN: https://malaysiagazette.com/2023/08/06/kuasa-mahkamah-syariah-terancam-kurangkan-bidang-kuasa-sultan-peguam/
Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mendakwa 20 peruntukan yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan yang sama.
Kedua-duanya berpendirian, kuasa untuk menggubal undang-undang melibatkan perkara jenayah adalah di bawah bidang kuasa Parlimen manakala DUN hanya diberi hak untuk menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.
Justeru, kedua-dua individu berkenaan menggesa pihak mahkamah mengisytiharkan bahawa peruntukan tersebut batal dan tidak sah.-MalaysiaGazette