LONDON – Kelab Liga Arab Saudi terus bernafsu dalam usaha mereka membolot pemain bintang dunia untuk beraksi di Liga Pro Saudi apabila Al-Hilal membuat tawaran luar biasa untuk mendapatkan penyerang Napoli, Victor Osimhen.
Menurut laporan media di Eropah, Al-Hilal sedia untuk memberikan gaji sebesar €1.16 juta atau sekitar RM5 juta seminggu kepada Osimhen bagi meyakinkan pemain itu untuk berhijrah ke negara Timur Tengah.
Al Hilal gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan penyerang sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe dan kini mengubah perhatian mereka kepada Osimhen bagi mengukuhkan lagi jentera serangan pasukan.
Osimhen yang berusia 24 tahun sebelum ini menjadi buruan beberapa kelab besar di Eropah seperti Chelsea, Bayern Munich dan PSG setelah menjaringkan 26 gol dalam saingan Serie A musim lalu.
Setakat ini, kelab itu berjaya mendapatkan beberapa pemain seperti Malcom, Ruben Neves, Kalidou Koulibaly dan Sergej Milinkovic-Savic pada jendela perpindahan musim panas kali ini.
Akan tetapi, usaha Al-Hilal untuk mendapatkan Osimhen kelahiran Nigeria itu dilihat sukar kerana pemain itu gembira bersama Napoli dan mahu terus kekal beraksi di Eropah.
Ejen Osimhen mahu Napoli agar memberikan kontrak baharu kepada klien mereka dengan pembaharuan gaji dan meletakkan klausa perpindahan sebesar €200 juta kepada mana-mana pasukan yang berminat untuk menandatangani pemain itu pada masa akan datang. – Agensi