Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melawat pameran pada Majlis Pecah Tanah Projek Laman Ilmu @ UKM di UKM, Bangi. Foto FAREEZ FADZIL, 07 OGOS 2023.

BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi universiti awam yang pertama membangunkan Projek Laman Ilmu dengan kos RM9.383 juta.

Menurut Naib Canselor UKM, Datuk Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman, projek yang akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 14.37 ekar itu akan menjadi hab inovasi dan penyelidikan yang memfokuskan kepada clinical trial dan rawatan menggunakan sel stem.

“Projek ini bukan sahaja akan memberikan keuntungan kepada UKM tetapi juga turut memberi manfaat kepada masyarakat setempat di mana akan tersedianya ruang komersil, laman rekreasi, bangunan inovasi dan lain-lain lagi,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pecah Tanah Projek Laman Ilmu @UKM di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam masa yang sama, Dr Mohd Ekhwan berkata, projek tersebut akan menjadi salah satu tumpuan rekreasi untuk penduduk setempat kerana ia terletak di dalam pola penempatan serta berhampiran dengan laluan Denai Sungai Langat.

Sehubungan itu, ia juga akan turut menjadi projek penjanaan pendapatan kepada UKM.

Sementara itu, Mohd Ekhwan berkata, projek pusat inovasi tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama UKM dengan sebuah institusi terkemuka di China.

Kerjasama berkenaan bakal menawarkan program ijazah lanjutan program Sarjana dan Domtor Falsafah kepada para pelajar.

Beliau berharap, projek berkenaan akan turut memberi manfaat kepada masyarakat kelak.

“Akhir kata, saya berharap semoga usaha yang telah dilaksanakan ini tidak terhenti di sini sahaja tetapi sentiasa ditingkatkan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat dengan penyediaan kemudahan yang berkualiti dalam melestarikan gaya hidup sihat kepada semua lapisan masyarakat dan keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan serta strategi penjanaan yang telah direncanakan di UKM,” katanya lagi.- MalaysiaGazette