Anggota tentera beratur untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Sekolah Kebangsaan Kem Lapangan Terbang Sungai Layar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 08 OGOS 2023.

SUNGAI PETANI – Seramai 4,787 Anggota Tentera Malaysia (ATM) pelbagai pangkat dan polis bersama pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah di Kem Lapangan Terbang, hari ini.

Kesemua mereka mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai dengan 4,755 orang mengundi di Sekolah Kebangsaan Kem Lapangan Terbang sementara 32 anggota polis serta pasangan mengundi di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK).

Pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Kem Lapangan Terbang yang mempunyai 12 saluran dibuka pada jam 8 pagi mula dibanjiri anggota ATM dan pasangan masing-masing sejam sebelum itu.

Pusat pengundian tersebut akan ditutup jam 5 petang ini.

Pada jam 9.30 pagi, calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai, Ustaz Hanif Ghazali tiba di pusat pengundian itu bagi meninjau proses pengundian awal.

Ia diikuti calon Barisan Nasional (BN), Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin 20 minit kemudian.

Dalam senarai pengundian yang diedarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sejumlah 15,296 pengundi awal akan mengundi di Kedah dengan 33 pusat mengundi serta 62 saluran mengundi dibuka.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada 49,660 anggota ATM dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing yang akan mengundi di 260 pusat mengundi awal di 377 tempat mengundi atau saluran awal bagi PRN. – MalaysiaGazette