ALOR SETAR – Manifesto gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dirangka dengan mengambil kira keperluan rakyat negeri itu, bukan sekadar satu janji melangit, kata Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu itu berkata, manifesto ersebut disusun berasaskan realistik dengan misi utamanya untuk menyelesaikan segala agenda yang tergendala selama ini.
Lebih mesra dipanggil Tokdet, beliau enggan berjanji bulan bintang tetapi meletakkan integriti, cekap, amanah dan telus dalam usaha membangunkan Kedah adalah ciri utama yang pastik diwujudkan dalam barisan kepimpinan negeri.
“Kami mahu bangunkan Kedah bersandarkan teras yang sudah dirumuskan secara holistik serta rasional, khususnya dari aspek reformasi politik dan ketelusan urustadbir.
“Teras kedua pula mencakupi perihal pembangunan dan pengurusan ekonomi yang progresif, manakala teras ketiga melibatkan tumpuan ke atas pembangunan sosial secara harmoni,” katanya hari ini.
Mahdzir berkata manifesto gabungan kerajaan perpaduan itu menggariskan empat teras utama yang mencakupi setiap aspek yang dilihat memainkan peranan sebagai tunjang pembangunan Kedah.
Meletakkan sasaran membangunkan semula Kedah agar lebih progresif dan berdaya saing, ia diyakini mampu membantu negeri terbabit kembali bangkit.
Justeru itu, Mahdzir berkata, negeri yang satu ketika dahulu digelar Jelapang Padi itu memerlukan sentuhan pemimpin berpengalaman agar kembali fokus kepada kemajuan, kemakmuran, berdaya huni dan mapan.
Menurut beliau, tempoh pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selama 37 bulan telah meletakkan Kedah dalam keadaan pincang, apabila berdepan pelbagai kegagalan di peringkat dasar, kepimpinan, urus tadbir dan tatakelola yang lemah.
“Ia bukan sahaja membebankan rakyat, malah menyebabkan ada generasi yang tercicir dan meningkatkan kesenjangan masyarakat.
“Kedah turut dibebani krisis perubahan iklim dan terjerat dalam tatakelola kepimpinan yang angkuh serta tidak sopan,” tambah beliau.
Kerajaan Perpaduan Kedah Madani katanya, menawarkan rangka pengurusan ekonomi secara dinamik berdasarkan asas pertanian sedia ada, sumber tenaga terlatih dan sumber semula jadi untuk pembangunan ekonomi negeri yang lebih progresif serta berdaya saing.
“Bagi memastikan ketelusan ini sentiasa diutamakan, Ketua Pembangkang akan dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Kedah.
“Jentera pentadbiran negeri juga akan menyusun dan memperkemaskan agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar lebih kompeten dan berdaya saing,” katanya.
Selain itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Menteri Besar dan Exco diwajibkan mengisytihar harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua tahun.
“Kami juga akan menubuhkan lebih ramai anggota Jawatankuasa Pilihan Khas di peringkat DUN dan memastikan EXCO kerajaan negeri dibarisi oleh sekurang-kurangnya dua wakil anak muda.
“Pembentukan generasi muda yang berdaya saing akan mendapat tempat cukup istimewa dalam Kerajaan Perpaduan Kedah Madani, dan ia meliputi setiap aspek diperlukan,” katanya lagi.
Memberi jaminan keperluan mereka tidak akan diabaikan, Mahdzir menambah, Program Perumahan Sewa-Untuk-Miliki (Rent-to-Own) akan diperkenalkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), bagi memberi peluang kepada keluarga muda memiliki rumah pertama.
“Kerajaan Perpaduan Kedah Madani juga akan mewujudkan Rumah Transit kepada anak muda yang layak dengan kadar sewa berpatutan di kawasan strategik.
“Turut dilaksanakan ialah program perumahan kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik untuk golongan B40 serta M40 di bandar atau pinggir bandar, berasaskan keperluan,” ujar Mahdzir. – MalaysiaGazette
















