KUALA LUMPUR – Sebanyak 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, dibuka serentak bermula 8 pagi ini.
Turut dibuka ialah tiga pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan serentak.
Menurut laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Daftar Pemilih Pilihan Raya yang digunakan untuk PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta PRK Kuala Terengganu adalah daftar pemilih terkini yang dikemas kini sehingga 21 Jun 2023.
Sementara, seramai 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan akan terlibat dengan proses pengundian awal bagi PRK Kuala Terengganu.
Kesemua pusat pengundian awal di enam negeri berkenaan termasuk di IPK Terengganu dijadual ditutup secara berperingkat mengikut kedudukan kawasan pusat mengundi.
SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN di enam negeri serta PRK Kuala Terengganu masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 29 Julai lepas dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos.
PRN itu melibatkan 36 kerusi DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40) Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan.
PRK Parlimen Kuala Terengganu pula diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun yang membatalkan kemenangan calon PAS Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas mendapati berlaku perbuatan rasuah.
— BERNAMA
















