Mohd Izzham Halim dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu mengaku bersalah 34 tuduhan menerima rasuah hari ini

TERENGGANU – Seorang sarjan polis dihukum penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah  terhadap 34 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM12,500 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Tertuduh, Mohd Izzham Halim, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman terhadap kesalahan yang dilakukan antara 26 Disember 2019 hingga 10 Mac 2022.

Sesi pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Najmi Adila Md Nasir.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Izzham ketika berkhidmat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman didakwa menerima suapan antara RM50 hingga RM3,200 daripada seorang individu melalui akaun bank.

Perbuatan dilakukan sebagai dorongan untuk menyalurkan maklumat pergerakan operasi pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kemaman.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara 8 bulan bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak, berkuatkuasa dari tarikh pertuduhan pada 14 Mac 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast