Amirudin Shari

SHAH ALAM – Perancangan projek Pembangunan semula Sungai Klang dicetuskan hasil idea mantan Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim.

Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek itu kemudian dinamakan Selangor Maritime Gateway (SMG) dan dilancarkan juga oleh mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Cuma projek itu dilaksanakan oleh saya sebaik mengambil alih jawatan Menteri Besar daripada Mohamed Azmin.

“Projek ini adalah kesinambungan kepada apa yang telah dilaksanakan, cuma kaedahnya berbeza.

“Dahulu Allahyarham Khalid ada bayangkan dan ketika Azmin menteri besar, dia lantik Landasan Lumayan (LL) iaitu anak syarikat Menteri Besar Diperbadankan (MBI) sebagai pemaju induk, bukan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Keluar Sekejap Podcast yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan.

Menurut Amirudin, LL adalah syarikat yang dipilih serta dilantik oleh Azmin dan satu-satunya perkara yang dibuat oleh bekas Timbalan Presiden PKR itu ialah memberi hutang sebanyak RM45 juta kepada syarikat berkenaan untuk kerja pembersihan memerangkap sampah.

Katanya, walaupun sebelum ini sudah ada perangkap sampah, tetapi dengan adanya tambahan dapat mengumpul sebanyal 731,000 tan sampah sehingga kualiti air Sungai Klang meningkat.

“Bukitnya, Sungai Rasau sekarang sudah boleh ekstrak air, yang mana dahulu ditahap lima, sekarang mencapai tahap tiga dan boleh digunakan untuk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau apabila siap nanti.

“Kalau dipertikai syarikat LL tidak berkemampuan, memanglah sebab syarikat itu tidak buat apa-apa business. Hanya diberikan RM45 juta sebagai hutang untuk buat proses pembersihan.

“Jadi, saya nak menambahkan lagi potensi yang ada dan untuk menggerakkannya kita perlu menjemput suntikan daripada pelabur,” katanya.

Justeru itu, katanya, kerajaan negeri membuka Permintaan untuk Cadangan (RFP) dan telah menilai kira-kira 80 syarikat selama lapan bulan dari 2020 hingga 2021.

Malangnya, kata Amirudin, dalam penilaian itu semua syarikat tidak menepati RFP ataupun garis panduan yang disediakan MBI.

Kemudian syarikat Berjaya Land (BL) datang dan bersedia untuk membiayai projek pembersihan Sungai Klang termasuk kerja mengorek dan juga pembangunan sekitar.

“Bagaimana BL dapat? Selepas proses RFP dibuat dan semua yang memohon gagal, mereka (BL) datang dengan cadangan termasuk bersedia membiayai menanggung seluruh kos pembersihan dan Pembangunan.

“Semua 80 syarikat yang hantar RFP tidak sanggup biayai, hanya BJ yang sanggup. Maka, saya minta MBI dan jawatankuasa teknikal untuk semak dengan menggunakan skim RFP yang lepas supaya kita berlaku adil,” katanya.

Kata beliau, daripada berterusan membiarkan duit kerajaan mengalir, syarikat itu bersedia memungut sampah.

Ujarnya lagi, tanah sekitar nanti 45 peratus masih kekal dimiliki oleh syarikat LL, bukan BL.

“Saya sudah jelaskan perkara secara terperinci dalam sidang Dewan Negeri selepas ditanya oleh Hilman Idham (Gombak Setia).

“Saya percaya tuduhan mengatakan berlaku penyelewengan dan rasuah dalam projek ini hanyalah sensasi menjelang pilihan raya. Kalau tidak (pilihan raya), ia (tuduhan) telah dibuat dua tahun atau setahun lalu lagi.

“Mereka hanya mencari dan buat gempak sebab nak kata Berjaya Land, (milik) Tan Sri Vincent Tan, tauke judi dan sebagainya,” kata beliau.

Ditanya kenapa BL dapat 55 peratus, katanya, asasnya sebab seluruh pembiayaan pembersihan dan Pembangunan itu ditanggung sepenuhnya oleh syarikat itu.

Amirudin turut memperbetulkan jumlah keluasan yang dikatakan 600 ekar, sebenarnya sekitar 200 hingga 300 ekar sahaja.

Katanya, semua prosesnya bukan diputuskan oleh MBI sahaja, malah telah dibentangkan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES) dan diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast